taken from mstaronline

 

Salahkah wanita membawa kondom dalam beg?
02-05-2006 04:21:05 PM
PB Jainal

Semalam saya terbaca satu laporan dalam akhbar tabloid mengenai operasi yang dikenali ‘Ops Pondan’.

Operasi yang membabitkan 30 anggota polis Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU) diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sukri Awang dan 10 pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) diketuai Pegawai Penguat kuasa Agama, Mohd Rejab Ali. 

Operasi itu telah dijalankan di sekitar Jalan Pantai, Bagan Ajam, Butterworth dan berjaya  memberkas sembilan orang pondan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti maksiat termasuk  menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang mempunyai satu kondom dalam beg tangannya.        
 
Pegawai Penguat kuasa Agama, Mohd Rejab Ali telah dipetik sebagai berkata, "Turut ditahan adalah seorang wanita berusia 38 tahun kerana dipercayai cuba melacurkan diri. Ketika pemeriksaan dilakukan, pegawai penguat kuasa menemui satu kondom yang disimpan dalam beg tangan wanita itu dan hasil soal siasat, wanita berkenaan mendakwa dia ibu tunggal yang mempunyai tiga anak," 

Seorang ibu tunggal disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran hanya kerana memiliki kondom dalam beg tangannya! Ini adalah satu tuduhan yang amat berat sekali. Saya tidak nampak sebarang kewajaran untuk mengesyaki wanita tersebut hanya kerana beliau berada di tempat tersebut dan memiliki kondom dalam tas tangannya. 

Bolehkah dia melacurkan dirinya hanya dengan satu kondom sahaja tanpa kehadiran seorang lelaki? Bagaimana sekiranya seorang lelaki didapati memiliki kondom? Adakah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) akan mengambil tindakan yang serupa juga? Tentu sekali tidak.
 
Saya sendiri sering menyimpan kondom dalam dompet duit dan selalu membawanya kemana-mana. Kehidupan seorang gay yang mudah terdedah kepada risiko jangkitan HIV semasa melakukan hubungan seks, menyebabkan saya lebih berhati-hati dan sentiasa mengamalkan perlakuan seks yang selamat.

Pernah sekali ketika berada di sebuah kelab hiburan, sepasukan polis dan jabatan agama Islam telah menyerbu premis tersebut untuk menjalankan pemeriksaan. Oleh kerana pemeriksaan tersebut melibatkan masalah penggunaan dadah di kelab hiburan, semua pengunjung termasuk saya diarahkan mengeluarkan isi poket, beg dan dompet kami.
 
Seperti yang saya katakan saya sentiasa membawa kondom dalam dompet saya. Namun dalam pemeriksaan tersebut saya tidak pula ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran. Kenapa? Hanya kerana saya seorang lelaki? Hairan ya kenapa hanya perempuan sahaja yang disyaki?
 
Sebelum ini pada bulan Januari yang lalu Pengerusi  MCA  Bahagian Bukit Bintang Datuk Dr. Lee Chong Meng telah meminta kepada pihak polis agar bersikap lebih terbuka dengan tidak menahan wanita yang didapati memiliki kondom hanay kerana prasangka buruk dan mengesyaki mereka terlibat dalam aktiviti pelacuran.
 
Penguasa Perhubungan Awam PDRM Supt Mohamad Daud pula tegas berkata bahawa polis tidak pernah menahan seseorang semata-mata hanya kerana mereka membawa kondom. Namun beliau tidak menafikan bahawa pihak polis sentiasa membuat pemeriksaan dan serbuan di tempat-tempat yang disyaki terlibat menjalankan aktiviti maksiat diseluruh negara. Apa yang disarankan langsung tidak menepati kenyataan apa yang terjadi di Jalan Pantai, Bagan Ajam, Butterworth.
 
Sebenarnya wanita wajar diberi peluang melindungi diri mereka dari penyakit berjangkit yang asalnya dari perhubungan seks. Kajian yang dilakukan oleh beberapa institusi seperti Harvard Aids Institute, AGIT Clinical Centre dan Harvard University Medical School di dalam penyelidikan mereka telah mendapati bahawa wanita mewakili peratusan yang tertinggi yang menghidapi  jangkitan virus berbahaya seperti HIV dan Human Papiloma Virus (HPV), dipercayai satu faktor penyebab barah pangkal rahim.
  
Menurut perangkaan hospital di Kota Bharu pula, hampir 88% daripada kes wanita HIV positif yang dirawat antara Januari 2000 hingga Oktober 2004 dihospital berkenaan adalah kerana dijangkiti oleh suami mereka sendiri.
 
Perkara ini adalah tidak begitu menghairankan kerana wanita di negeri ini amat kurang pengetahuan dan keupayaan untuk melindungi diri mereka. Dalam masyarakat di mana lelaki merupakan gender utama, wanita walau apapun status sosial dan ekonomi mereka, jarang diberi  peluang dan selalu mengalami kesukaran untuk berunding dengan suami mereka tentang pengamalan seks secara selamat dan penggunaan kondom.
  
Saintis Bioteknologi Perubatan Aaride International, Dr Kogelen Govindasamy, berkata banyak laporan kajian sainstifik membuktikan virus HIV semakin tersebar luas dan menjangkiti wanita setiap hari melalui hubungan seks tanpa kondom dengan pasangan mereka yang menjadi pembawa virus.
 
Malangnya bagi wanita di negara kita, langkah berjaga-jaga dan pengamalan seks selamat  dengan bersiap-sedia menyimpan kondom hanya akan membawa padah. Nasib tak baik, akan  didakwa terlibat dengan aktiviti pelacuran pula.
 
Bukan tujuan saya menulis catatan ini untuk menggalakkan seks di luar pernikahan, mahu pun menghalalkan yang haram. Catitan ini sekadar melahirkan rasa simpati terhadap golongan wanita yang tidak bersalah, dituduh dan difitnah sewenang-wenangnya.
  
Memang ada kemungkinan wanita tersebut memiliki kondom untuk tujuan melakukan seks. Namun persoalannya di sini kenapa menjatuhkan hukum sebelum wanita itu didapati bersalah. Wanita yang menyimpan kondom itu belum pun lagi melakukan apa-apa. Ada kemungkinan  beliau menyimpan kondom itu untuk hubungan seks dengan pasangan nya yang sah.
  
Mengesaki seorang wanita melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran hanya kerana beliau mempunyai kondom dalam bag tangannya adalah satu penghinaan terhadap golongan wanita. Samalah seperti penghinaan yang dilakukan anggota parlimen Rantau Panjang Abdul Fatah Harun yang mengaitkan kes perceraian dengan sifat "gatal" janda.
 
Inilah fitrah manusia, cepat menghukum tanpa usul periksa.